Sang Pencari Rezeki

Berhentilah mengeluh akan pekerjaanmu itu wahai sang pencari rezeki. Kedengaran suara sumbangmu yang semakin hari semakin jelik bunyinya. Tiadakah rasa bersyukur kamu akan apa yang kamu perolehi ketika ini? Ketika kamu mengeluh saban hari tanpa henti, Allah masih lagi memberi rezeki kepada dirimu itu. Adakah kamu lupa pekerjaanmu itu sekarang merupakan rezeki untuk kamu meneruskan hidup? Malangnya hidup kamu sekiranya kamu hanya mendapat lelah semata-mata akan dari pekerjaanmu itu.

Begitu ramai lagi yang berada diluar itu dahagakan tempatmu itu. Namun begitu angkuhnya kamu dengan jawatan besar mahupun kecil yang kamu ada sekarang ini. Sudahlah kamu lupa akan bagaimana bersungguh-sungguhnya diri kamu untuk mendapatkan pekerjaan suatu ketika dulu tapi pabila telah kamu perolehi, kesyukuran itu makin hari makin hilang entah ke mana. Begitu hina sekali menjadi manusia yang lupa diri ini.

Ingatlah bahawa rezeki yang kamu perolehi saban bulan itu datangnya dari-Nya. Malulah dirimu wahai sang pencari rezeki akan sikapmu yang sudah lupa apa erti nilai syukur. Lepaskanlah pekerjaanmu itu sekiranya kamu masih lagi terus mengeluh. Apa guna merungut saban hari dengan apa yang kamu buat. Bukankah itu yang kamu mahukan pada mulanya. Tiada faedahnya sekiranya kamu masih kekal di situ.

Kamu sekadar membuang masa dan tenaga tanpa mendapat apa-apa ganjaran untuk kamu bawa ke alam lain suatu hari nanti. Kamu sekadar mendapat penat lelah yang sama dari rutin harian kamu yang sama juga. Tiada apa yang boleh dibanggakan dengan imbuhan bulanan yang kamu perolehi setiap bulan kerna ianya sekadar imbuhan dunia semata-mata. Tiada nilainya di situ wahai sang pencari rezeki.

Berhentilah merungut, jadilah manusia yang selalu bersyukur walaupun kamu benci mahupun bosan pekerjaan kamu tika ini kerna dari pekerjaan itulah kamu masih lagi dapat meneruskan hidup. Dapatkanlah sebanyak mungkin pahala daripada pekerjaan kamu itu. Bukankah ini lebih berharga pabila kamu mendapat dua imbuhan, satu di dunia dan satunya merupakan bekalan tiket kamu ke syurga kelak. InsyaAllah. Selamat bekerja wahai sang pencari rezeki.

Comments

Popular posts from this blog

Ezqir Dan Qisyah

Silverchair - Miss You Love

Gunung Ledang Tangkak