Peluru Luka
Hari ini aku dipeluru 'ayat' tepat ke hati. Sakitnya sudah pasti tapi aku gagahkan juga untuk teguh berdiri. Aku tidak memaksa apatah lagi cuba menyeksa diri ini. Semestinya aku sedar yang aku hanyalah insan longlai itu, mana mungkin aku mengeluarkan taringku berpura-pura aku adalah si penghisap darah yang rakus akan dahaga cecair merah itu. Realitinya aku bukan watak itu, sama sekali bukan aku sekiranya begitu.
Aku diseksa disetiap sudut tanpa sebarang perisai melindungi diriku yang diasak bertalu-talu tanpa henti sejak sekian waktu itu, namun aku beranikan diri menahannya dengan tubuhku yang telanjang ini kerna aku lebih rela menerima asakkan peluru menjamah setiap inci tubuhku agar aku sendiri dapat merasai sakitnya itu.
Bekas-bekas luka daripada kesan peluru itu bukti aku menanggungnya terlalu lama, namun aku sama sekali tidak akan mengeluh kerna aku tahu aku seorang yang tabah hatinya. Pabila aku disakiti dan sakit ini masih lagi terasa akan bisanya, aku hanya bisukan diri ini tapi tidak bermakna bisuan aku ini menunjukkan aku berada dalam ketakutan. Tidak sama sekali.
Suatu masa nanti pasti peluru ini akan aku pulangkan bersama-sama kelongsongnya ke tempat asal datangnya itu. Aku tidak gelarkannya sebagai balasan kesumat tapi aku kembalikannya supaya dapat memberi keinsafan agar permainan ngeri ini tidak berlanjutan tanpa hala tujunya. Aku akan pastikan ianya bernoktah buat selama-lamanya. Biarpun aku merupakan mangsa yang terakhir kalinya namun aku pasrah bahawa inilah takdir hidupku.
Comments