Sabarlah Dalam Bersabar
Api itu sudah tentu panasnya pasti membuatkan kulit menjadi sakit pabila terkena akannya. Begitu juga dengan sifat marah dalam diri. Acapkali hilangnya waras berfikir, segala sifat sabar dalam diri itu hilang serta merta entah kemana. Begitu kuatnya unsur kemarahan yang ada dalam diri seseorang sehinggakan sukar untuk tidak dikawal kesabaran dirinya itu.
Paksikanlah kekuatan sabar dalam diri itu kerna ianya pasti menjadikan kita sebagai insan mulia. Sememangnya tiada akan untungnya seseorang yang berada dalam keadaan amarah lagi benci, ianya lebih memberi kebinasaan bukan sahaja terhadap diri sendiri malahan insan yang berada disekeliling turut terkena akan tempiasnya.
Sabarlah dalam bersabar menjalani kehidupan seharian. Sekiranya kita sabar pasti segala urusan menjadi mudah seperti air sungai mengalir walaupun rintangan di depan terlalu padat untuk dilalui air tersebut setiap hari. Begitulah kehidupan pada hari ini, dengan sabar kita pasti dapat memperolehi sesuatu itu sama ada pantas ataupun perlahan namun pastikan ianya masih dalam landasan terhadap jalan kepada-Nya.
Mengekalkan kesabaran itu juga diakui tidak terlalu mudah seperti menghirup udara namun kentalkan jiwa itu agar tidak mudah berputus asa. Melahirkan jiwa yang kental memerlukan kepaduan iman yang teguh dalam diri. Carilah, belajarlah, amalkanlah segala ilmu-Nya dalam melatih diri supaya iman itu sentiasa mekar ibarat cahaya matahari. Ilmu-Nya sangat luas, dengan itu bersabarlah dalam mendalami segala ilmu-Nya tak kala nyawa masih di jasad.
Comments