Ezqir Dan Qisyah (Part 2)
Ezqir anak muda bangsa Pevzex yang merupakan satu-satunya anak tunggal kepada Wiqzer dan Lisyana merupakan seorang jejaka yang berbadan tegap dan tinggi persis ayahnya Wiqzer. Namun sikap Ezqir langsung tidak menampakkan yang beliau seorang yang perkasa bagai pahlawan tetapi lebih kepada tinggi sopan santunnya seperti Lisyana iaitu ibunya. Ezqir seorang yang berbudi bahasa dan pandai menghormati orang tua. Ini mungkin didikan daripada ibunya sejak kecil. Ayah beliau jarang-jarang berada di rumah kerana kekangan waktu, banyak masa yang dihabiskan oleh Wiqzer iaitu si ayah di tempat kerja. Maka tidak hairan, tingkah laku Ezqir lebih kepada ikutan ibunya. Ezqir mempunyai tanda lahir yang aneh di belakang kiri badannya. Berbentuk huruf 'E' sejak kelahirannya lagi dan disebabkan ini Wiqzer dan Lisyana menamakan anaknya itu dengan nama Ezqir yang bermaksud 'seorang pemikir' mengikut budaya kaum Pevzex.
Sama seperti Qisyah yang juga anak tunggal, Ezqir tidak dapat lari daripada dimanjakan oleh ibunya walaupun bagi Ezqir ianya tidak perlu kerana usianya sendiri yang sudah memasuki angka 22. Namun Lisyana masih juga menganggap anak tunggal lelakinya ini masih memerlukan perhatian lebih kerana itulah satu-satunya permata berharga yang beliau miliki selain daripada suaminya sendiri. Namun segalanya berubah dalam sekelip mata apabila Wiqzer nekad untuk menghantar anaknya ini ke Wixcov. Pada mulanya Lisyana membantah akan tindakkan suaminya ini tapi akhirnya terpaksa akur demi kebaikan anak lelakinya itu. Berat hati si ibu apabila melihat anaknya pergi meninggalkan bumi Pevzex. Ini semuanya adalah gara-gara ketidaksengajaan Ezqir apabila beliau telah membuatkan temannya sendiri berada dalam keadaan cedera dan seterusnya koma ketika sedang bermain vizwac iaitu sejenis permainan tradisi kaum Pevzex.
Bagi kaum Pevzex sendiri, adalah menjadi suatu perkara yang serius apabila berlaku sebarang kecederaan ketika bermain permainan tradisi mereka lebih-lebih lagi sehingga mengakibatkan koma. Sebagai pengajaran, seseorang itu harus ditempatkan selama 3 tahun di dalam sel Roxken iaitu sel yang didiami oleh makhluk Juaz. Makhluk Juaz merupakan suatu bahan eksperimen saintis dalam menjadikan bumi Pevzex dapat didiami oleh manusia dan makhluk ini secara bersama di masa akan datang. Dengan itu bagi mana-mana pesalah seperti Ezqir, beliau akan ditempatkan di sel Roxken sebagai pengajaran dan juga sebagai bahan uji kaji secara tidak langsung. Namun sebagai alternatif untuk tidak dihantar ke sel ini, seorang pesalah itu haruslah dibawa keluar dari bumi Pevzex selama 5 tahun. Maka itu, Wiqzer terpaksa membuat keputusan berat untuk menghantar anaknya itu ke bumi Gexneic.
Bagi Ezqir, dimasukkan ke dalam sel ataupun di'tendang' keluar dari bumi sendiri tiada bezanya. Yang membuatkan dirinya terkilan adalah kerana tidak dapat mengetahui kedudukan temannya itu yang koma. Pesalah sama sekali tidak boleh dihubungi dan begitu juga sebaliknya sehingga tempoh hukuman selesai. Namun dalam kesedihan ini, Ezqir berasa gembira kerana dihantar ke bumi Gexneic. Beliau gembira kerana mampu berdikari dan tidak lagi dimanjakan oleh ibunya seperti dulu. Selain itu dapat 'mengenali' Qisyah juga merupakan satu bonus yang tak dijangka dan menggembirakan diri Ezqir. Walaupun masih belum bertegur sapa, Ezqir percaya hari itu pasti akan tiba untuk dirinya dapat mengenali Qisyah dengan lebih dekat kerana masih panjang lagi waktu untuk beliau berada di bumi Gexneic ini.
Hari ini Rasyur iaitu guru kelas Ezqir yang mengajar beliau dalam ilmu minda kawalan mahukan pelajarnya mencari pasangan dalam membuat tugasan di makmal...
bersambung...
Comments